Red Devils bakal beraksi dalam perlawanan pertama musim 2018-2019 dengan menentang Leicester City di Old Trafford.

Kempen pramusim United berlangsung dengan aksi tidak konsisten dan berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada kelab gergasi Jerman, Bayern Munich di Arena Allianz hari ini. Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Sepanyol, Javi Martinez pada babak kedua.

“Minggu ini, kami perlu menyusun kembali pasukan untuk membolehkan kami kembali segar kerana pada Jumaat nanti Liga Perdana bermula. Kami bermain untuk meraih mata dengan menggunakan pemain yang kami ada.

“Tiada masa untuk menangis. Kami tidak mendapat pemain terbaik pada Jumaat ini jadi kami perlu mengharungi perlawanan dengan barisan yang mampu disenaraikan serta de­ngan mentaliti kuat,” katanya kepada MUTV.

United memperoleh kembali khidmat dua pemain tonggak Marcus Rashford dan Victor Lindelof di Jerman tetapi mereka kehilangan Eric Bailly yang me­ngalami kecederaan akibat pertembungan dengan Serge Gnabry.

“Akhirnya, pramusim yang sukar sudah berakhir. Pemain sekali lagi cemerlang dan mereka tidak boleh melakukan yang lebih baik berbanding apa yang mereka sudah lakukan,” jelasnya.

Bintang muda Rashford te­lah menyarung jersi nombor 10 dalam perlawanan itu, nombor yang biasanya dipakai oleh ‘aset’ penting pasukan di Old Trafford seperti Wayne Rooney dan Zlatan Ibrahimovic.

“Dia mahukannya. Dia sentiasa mahukannya. Sudah tentu, dia menghormati Rooney dan kemudian Zlatan mahu memilikinya. Sudah tentu juga dia sentiasa dalam bayang-bayang, menunggu peluang dan kini tiada siapa yang menggunakannya.

“Sesuatu yang menakjubkan buatnya, jadi kami berikan jersi itu kepada dia,” kata Mourinho yang berharap untuk mendapatkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain ke Old Trafford. – AFP