Dua jaringan pantas daripada Romelu Lukaku (minit ke-64) dan Marcus Rashford (66) mengesahkan kemaraan Red Devils selaku juara Kumpulan A, namun tuan rumah terdahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat yang disempurnakan oleh Vitinho pada minit ke-45.

United bakal mengetahui nasib mereka dalam undian yang akan diadakan pada Isnin pagi. Gergasi Jerman, Bayern Munich, Juventus, Sevilla, Shakhtar Donetsk, Porto dan penyandang juara, Real Madrid antara lawan yang berpotensi ditentang.

Kata Mourinho, pasukannya juga digeruni oleh kelab elit Eropah yang lain dan dia tidak boleh membuang masa memikirkan tentang kemungkinan bakal berlaku kerana mempunyai tugas lebih besar iaitu menentang musuh berjiran dan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Ahad ini.

“Saya biasanya tidak bernasib baik dalam undian, jadi lebih baik saya tutup mulut dan lupakan perkara itu. Lagi pun kami hanya akan bermain pada Februari.

“Sehingga tiba waktu itu, saya hanya mahu memberi tumpuan kepada persaingan Liga Perdana dan saya fikir, saya tidak kisah dengan siapa pun kami akan diundi.

“Mana-mana pasukan yang diundi menentang Manchester United juga pasti tidak gembira,” katanya kepada BT Sport.

Walaupun ketinggalan pada babak pertama, Mourinho memuji semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya di depan penyokong sendiri dan dia percaya, mereka akan terus mencatat keputusan yang baik selagi berjaya mengekalkan prestasi tersebut.

“Pada babak pertama kami kalah walaupun bermain baik dan saya langsung tidak gembira dengan pemain. Pada separuh masa kedua, kami menunjukkan reaksi yang mantap, kami tidak kalah perlawanan.

“Pemain-pemain ini sangat profesional dan kami layak dengan cara yang kami mahukan. Persembahan pada babak kedua menunjukkan keinginan tinggi kami untuk melayakkan diri dengan rekod yang baik. Objektif kami adalah layak dengan bergaya,” kata pengendali kelahiran Portugal itu. – AGENSI