Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Jose Mourinho itu kembali ke kedudukan No. 2 carta liga mengatasi tempat ketiga Liverpool setelah mengumpul 59 mata, dengan kekal ketinggalan 13 mata daripada pendahulu Manchester City, manakala Chelsea jatuh ke anak tangga kelima di belakang Tottenham Hotspur.

Chelsea, yang mempamerkan aksi bertenaga selepas wisel permulaan dibunyikan, membuka jaringan menerusi Willian pada minit ke-31 apabila memanfaatkan hantaran Eden Hazard untuk melepaskan rembatan yang gagal dibaca penjaga gol United, David de Gea di tepi gawang.

Bagaimanapun kelebihan tersebut hanya mampu bertahan selama tujuh minit apabila Lukaku menyamakan kedudukan, untuk mengikat Chelsea 1-1 hingga babak pertama tamat.

Separuh masa kedua bersambung, Lukaku sekali lagi menjadi tumpuan apabila membantu mencipta gerakan gol menerusi hantaran lintang untuk Jesse Lingard menanduk masuk jaringan kemenangan.- AFP