Jika pada 2004 bersama Porto dan 2013 bersama Real Madrid, Mourinho menyekat kemaraan United sebagai musuh tetapi kini dia bakal menjadi orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjulang kembali nama kelab Inggeris itu di peringkat Eropah.

Tugas utama Mourinho ketika ini ialah untuk mema­damkan rekod cemerlang Alex Ferguson yang pernah membawa United menikmati zaman gemilang, selain mengembalikan sentuhan juara Eropah yang telah lama hilang.

“Kembalinya kempen Liga Juara-Juara Eropah ke Old Trafford adalah satu detik yang menakjubkan untuk semua, sama ada pemain atau pun penyokong kelab ini. Musim lalu kami tersingkir awal dan terpaksa beraksi dalam Liga Europa sehingga mampu muncul juara.

“Kini saya cuba mencipta rekod yang lebih baik bagi Uni­ted dan akan berusaha keras untuk muncul sebagai pengurus paling berpengalaman dalam pertandingan ini,” kata Mourinho, 54, yang pernah terlibat dalam 133 perlawanan Liga Juara-juara Eropah berbanding Ferguson 194 perlawanan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak semua pemain United yang ada sekarang mempu­nyai pengalaman beraksi di peringkat Eropah terutama dalam usaha mengakhiri kegagalan layak ke pusingan kalah mati sejak April 2014.

Menerima kunjungan Basel dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, ada badi yang Mourinho dan United mahu hapuskan kerana tidak mempunyai rekod pertemuan yang baik setiap kali bertemu pasukan lawannya itu.

Empat tahun lalu ketika bersama Chelsea, Basel memalukan anak buah Mourinho dengan kemenangan 2-1. Dua tahun lalu United pula tersingkir seawal peringkat kumpulan lagi gara-gara tewas 1-2 di stadium keramat Basel iaitu Stadium St. Jakob.

Pada 2003 dan 2011 pula Basel gagal ditewaskan ketika beraksi di Old Trafford. Kali ini, Mourinho perlu memikirkan untuk menjaringkan gol untuk menamatkan badi tersebut. – AFP