Perlawanan bermula dengan penuh emosi apabila semua pemain bertafakur bagi memperingati mangsa serangan bom ketika konsert di Manchester Arena sebelum jaringan Pogba dan Henrikh Mkhitaryan memastikan kemenangan 2-0 United ke atas Ajax.

Selain cukup beremosi kerana memperingati mangsa serangan bom, kejuaraan itu juga memberi makna amat besar buat seluruh pemain dan penyokong United kerana ia secara otomatik melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara musim depan selepas gagal me­nempatkan diri menerusi saingan domestik.

Selepas dikritik apabila sekadar menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga keenam, kejayaan beraksi di pentas kelab elit Eropah itu memberi kelegaan buat Jose Mourinho yang telah ‘mengorbankan’ ba­nyak perlawanan tempatan demi memenuhi misi muncul juara Europa.

“Insiden itu (serangan) sesuatu yang dahsyat dan diratapi oleh seluruh dunia. Kami hadir (di Sweden) dengan fokus untuk menang (Liga Europa) kerana mahu menghadiahkan kemenangan buat Manchester dan negara.

“Kami bermain untuk England, kami bermain untuk Manchester dan kami bermain untuk mangsa yang terkorban akibat serangan bom,” kata Pogba yang turut beraksi di Stade de France pada malam November 2015 yang menyaksikan serangan pengganas di Paris.

Pemain United memakai lilitan hitam di lengan, manakala sorakan ‘Manchester’ dilaungkan oleh penyokong di Friends Arena, Sweden sebagai tanda memperi­ngati mangsa.

Kemenangan tersebut membolehkan United melengkapkan trofi kejuaraan dan menyertai Juventus, Ajax, Bayern Munich serta Chelsea yang berjaya memenangi semua gelaran ditawarkan di Eropah iaitu Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Mourinho pula memahat sejarah sebagai pengurus pertama berjaya menjuarai Liga Europa dan Liga Juara-Juara bersama tiga pasukan berbeza.

Pengendali United itu menjuarai Piala UEFA pada 2003 bersama Porto sebelum merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara juga bersama Porto pada tahun berikutnya.

Trofi Liga Juara-Juara keduanya hadir pada 2010 ketika dia membimbing gergasi bola sepak Itali, Inter Milan menjulang gela­ran treble pada musim berkenaan.

Jurulatih kelahiran Portugal itu kemudian meletakkan namanya dalam lipatan sejarah selepas membawa United menjadi Juara Europa buat kali pertama di Stocklholm. – AGENSI