Jaringan tunggal Mata pada minit ke-70 sudah memadai untuk membawa United ke suku akhir Liga Europa menerusi agregat 2-1 selepas menang 1-0 dalam aksi kedua, peringkat 16 terbaik di Old Trafford. Mereka sebelum ini seri 1-1 pada perlawanan pertama di Rusia.

Pada ketika peluang untuk la­yak ke kejohanan kelab elit Eropah atas tiket Liga Perdana Inggeris masih belum terjamin kerana ber­ada di tempat keenam liga, menjuarai Liga Europa adalah satu-sa­tunya jalan untuk melayakkan diri.

“Kami sentiasa mahu memenangi setiap kejohanan yang di­sertai, itu sasaran utama.

“Jelas sekali ini peluang terbaik untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi ada beberapa perlawanan getir yang menanti dalam Liga Europa.

“Standard kejohanan sangat tinggi, namun kami mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara dan kami sedar ini adalah cara untuk mendapatkan tiket ke kejohanan elit itu,” kata Mata kepada BT Sport.

Biarpun mengambil masa yang panjang untuk meledak gol kemenangan, tetapi Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan berjaya beraksi baik dengan memulakan gerakan untuk gol yang disempurnakan Mata.

Sementara itu, pengendali United, Jose Mourinho mengakui, musuh pasukannya kini bertambah selepas mereka menyingkirkan Rostov.

Jurulatih dari Portugal itu bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang dimaksudkan sebagai musuh, namun dia nyata berang dengan jadual padat yang diharungi pasukannya dalam tempoh seminggu apabila terpaksa berdepan Chelsea pada suku akhir Piala FA (Isnin lalu), sebelum bertemu Rostov dan akan menentang Middlesbrough dalam Liga Perdana, Ahad ini.

“Sepatutnya musuh kami ha­nya Rostov, tetapi sebenarnya kami ada banyak lagi musuh.

“Sukar untuk bermain dengan 10 pemain Isnin lalu (selepas Ander Herrera dibuang padang ketika menentang Chelsea). Sukar untuk kami bermain hari ini dan kemudian beraksi lagi pada pukul 12 tengahari pada Ahad.

“Ada pihak berpendapat kami patut menjaringkan lebih banyak gol ketika menentang Rostov tetapi kami mengharungi terlalu banyak perlawanan.

“Pemain saya memang menakjubkan, namun kami mungkin boleh tewas Ahad ini kerana terlalu letih,” kata Mourinho. – AGENSI