Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, momentum kejayaan UiTM FC layak ke Piala Malaysia 2017 perlu dikekalkan untuk memastikan pasukan tersebut mencipta banyak kejayaan.

“Musim 2017, kami berada di anak tangga keenam Liga Perdana dan berjaya layak ke Piala Malaysia. Justeru kita mengimpikan pencapaian lebih tinggi.

“Kami berharap dengan kehadiran pemain import dari Jepun, Kota Kawase dan Lucas Ramon Pugh dari Argentina kami mampu berada di anak tangga kedua Liga Perdana 2018 dan layak ke pusingan kedua Piala Malaysia tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas memperkenal pemain dan jersi pasukan UiTM FC, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Presiden UiTM FC, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said, pengurus pasukan UiTM FC, Mustaza Ahmad dan jurulatih pasukan UiTM FC, Wan Mustafa Wan Ismail.

Hassan yakin kehadiran Kawase di bahagian pertahanan dan Lucas di bahagian serangan mampu membawa UiTM FC ke persada Liga Perdana.

Katanya lagi, UiTM FC mengekalkan pemain import bahagian tengah pada musim lalu Dechi Marcel N’Guessan dari Ivory Coast kerana kemampuannya menggerakkan bahagian tersebut.

“Antara pemain tempatan yang dikekalkan ialah ketua pasukan Muhammad Afif Asyraf, penjaga gol Mohamad Soffuan Tawil, pemain tengah Muhammad Izman Solehin dan penyerang Anwarul Hafiz. Muka baharu adalah pemain kebangsaan bawah 19 tahun 
Muhammad Al Imran,” katanya. – UTUSAN ONLINE