Pemain berusia 26 tahun itu muncul pemain ketiga termahal dunia apabila menggapai impiannya untuk berada di Camp Nou.

Bagaimanapun segelintir penyokong tidak dapat menerima pemergiannya, terutama kerana Coutinho meninggalkan Liverpool separuh jalan musim ini.

Di sebalik cemuhan itu, pemain Brazil itu cuba menjelaskan betapa dia terhutang budi kepada Liverpool kerana meletakkannya di mana dia berada hari ini.

Sebaik sahaja selesai mengesahkan perpindahan ke Barcelona, Coutinho mengucapkan selamat tinggal kepada Liverpool, peminat, kakitangan dan pengurusan kelab serta Jurgen Klopp menerusi akaun Instagram rasminya.

“Saya tinggalkan Liverpool kerana Barcelona adalah impian saya. Liverpool adalah impian dan saya cukup beruntung untuk menyedarinya dan saya diberi masa lima tahun untuk memburunya.

“Saya berharap kerjaya di Barcelona bertahan lama se­perti saya di Liverpool kerana saya mahukan pengalaman dan menikmatinya ketika saya mampu untuk melakukannya.

“Saya berharap penyokong memahami bahawa saya memi­lih untuk mengharungi sesuatu yang baharu, (tetapi) bukanlah disebabkan mereka kurang me­nunjukkan sokongan kepada saya atau kepentingan kelab. Tiada apa-apa pun yang akan menggugat perasaan saya.

“Saya berharap Jurgen dan pasukannya gembira dan berjaya sepanjang musim ini dan seterusnya. Ini adalah pasukan yang hebat dan mereka semakin baik dan lebih baik sepanjang masa.

“Terlalu ramai orang yang i­ngin saya ucapkan terima kasih, tetapi tidak boleh menamakan setiap orang secara individu. Kepada semua kakitangan yang mengagumkan di kelab ini, yang telah menjadi sebahagian daripada hidup saya di Liverpool, saya akan merindui anda.

“Buat pemilik kelab yang berusaha keras untuk menghadirkan kejayaan, terima kasih kerana menaruh kepercayaan kepada saya sehingga membawa saya ke sini serta memberi penghargaan kepada saya sepanjang perjalanan itu.

“Dan rakan sepasukan saya, baik dulu dan kini, yang telah membantu saya untuk membesar dan bertambah baik sebagai seorang pemain dan individu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Apa sahaja yang saya telah dapat di sini mungkin tidak berlaku tanpa anda.

“Dan akhir kata, kepada orang yang paling penting di Liverpool, penyokong Liverpool. Terima kasih sahaja tidak cukup dengan apa yang telah anda berikan kepada saya pada masa ini,” katanya. – AGENSI