Janji baginda itu disuarakan hari ini menerusi rakaman video di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers yang berdurasi selama 4:17 minit.

Dalam rakaman itu, Tunku Ismail antaranya memberitahu bahawa baginda tidak akan me­nyandang jawatan itu untuk tempoh yang lama.

“Presiden FAM ini tiada azam. Saya ialah presiden yang cuba mencari duit untuk pasukan lain supaya mereka dapat bertanding tanpa bebanan yang banyak.

“Betulkan struktur dan cuba lakukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden).

“Hari saya lepaskan jawatan FAM...mungkin 2018 atau 2019. Bergantung, lebih cepat lebih baik,” katanya dalam rakaman itu.

Tunku Ismail menduduki kerusi No.1 FAM untuk penggal 201-2021 selepas menang tanpa bertanding dalam Kongres Tahunan FAM, Mac lalu setelah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada pertandingan.

Baginda menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melepaskan jawatan itu.

Seandainya Tunku Ismail melepaskan jawatan itu, FAM bakal berdepan masalah besar ekoran tiada lagi calon untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkannya.

Ini adalah kali kedua Tunku Ismail berkata baginda mahu melepaskan jawatan setelah menyatakannya pada pertengahan tahun lalu.