Menerusi laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu mempersoalkan ketiadaan pengendali Selangor, Mehmet Durakovic dalam calon akhir bagi kategori Jurulatih Terbaik, sedangkan nama bekas jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan disenarai pendek.

Beliau mendakwa terdapat elemen politik dalam pemilihan tersebut dan tidak mengiktiraf anugerah berkenaan, walaupun menumpang rasa bangga terhadap kejayaan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tidak (pengiktirafan). Semasa saya dimaklumkan FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa sendiri. Bagi saya, sekiranya hendak mencalonkan anugerah jurulatih terbaik, pilihlah yang mempunyai pencapaian seperti Mario Gomez, Mehmet dan Tan Cheng Hoe, yang telah membuktikan kemampuan dengan pencapaian masing-masing.

“Mengapa calonkan Zainal yang tiada sebarang pencapaian untuk tahun ini? Manakala anugerah penyokong terbaik pula, mengapa Pahang yang menerimanya, sedangkan stadium mereka tidak sentiasa penuh, seperti di Larkin juga yang kadangkala tidak penuh?

“Bagi saya, yang layak menerima anugerah tersebut adalah penyokong Kedah, kerana stadium mereka sentiasa penuh dari awal hingga ke akhir tahun. Sudah tentu (bangga dengan kejayaan pemain JDT), dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang.

“Tetapi saya tidak mengambil serius anugerah ini, kerana ia dilihat dipengaruhi politik. Sepatutnya pengiktirafan diberikan kepada yang layak, bukan untuk menjaga hati pihak tertentu,” katanya dalam akaun Facebook tersebut.