Katanya, beliau amat mengambil berat berkenaan keselamatan pemain negara dan agak sukar baginya untuk melepaskan mereka ke Pyongyang disebabkan oleh situasi semasa.

Oleh itu Tunku Ismail berharap kerajaan dapat memberikan pandangan mengenai perkara itu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh FAM mengenai perkara tersebut.

“Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu berhubung perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia UAE 2019 Peringkat Kumpulan B yang akan diadakan di Pyongyang, Korea Utara pada 8 Jun 2017 nanti.

“Seperti sedia maklum, kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk ke Korea Utara disebabkan oleh isu diplomatik yang sedang berlaku sekarang ini.

“Walau bagaimanapun, hingga kini Kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan, cuma nasihat me­ngenai perjalanan dan itu tidak mencukupi untuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral.

“Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0. Kita juga akan didenda hingga AS$50,000 dolar (RM217,543) dan akan disingkirkan daripada pertandingan.

“Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan (anjuran) AFC pada masa akan datang. Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan pemain negara.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan oleh beberapa jurulatih yang pernah ke negara tersebut bahawa situasi di negara tersebut agak teruk.

“Saya juga khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana. Ini disebabkan kerana maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

“Seperkara lagi adalah ber­kenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pasti­nya keselamatan pengadil akan terjejas sekali gus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan.

“Apa-apa pun saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan.

“Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik. Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.