Jika Ahmad Amizal gagal berbuat demikian, mereka akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang didakwa me­lakukan penipuan.

Seorang pemain, Wan Zul Hilmi Wan Mustapa, 25, berkata, dia ada menghantar mesej kepada Wan Amizal bagi mendapat makluman mengenai perkara itu namun tidak berbalas.

“Sudahlah tidak bayar gaji, menipu pula dalam soal kontrak. Bila terikat begini, susah­lah kami hendak pergi ke pasukan lain.

“Kami sudah lama beri masa dekat Presiden PFA, kalau masih berdiam diri, kami akan buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Wan Zul, dia tidak tahu nasib mereka sama ada bakal menerima tunggakan gaji atau sebaliknya selepas Singa Utara dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2019 sekali gus geran yang dijanjikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan gaji mereka menjadi tanda tanya.

Dia yang menjaga kebun mempelam harumanis bapanya ketika ini memaklumkan bahawa PFA berhutang gaji lebih tujuh bulan melibatkan hampir RM30,000 dengannya.

Seorang lagi pemain, Mohd. Alif Najmi pula mempersoalkan ke mana duit kutipan tiket dianggarkan hampir RM300,000 pada perlawanan persahabatan sebelum ini digunakan.

“Kami akan buat laporan kepada SPRM untuk siasat. Kutipan banyak, tak bolehkan guna sedikitkah untuk bayar gaji kami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Mohd. Hafizi Mat Podzi, 24, pula berkata, mereka masih berharap MFL dapat memberi geran untuk membantu menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

“Tidak pernah dalam sejarah PFA di awal musim sudah tersangkut gaji. Sebelum ini, ada masalah sama tetapi tidaklah seawal ini,” katanya yang memaklumkan PFA mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM31,000.