Timbalan Presidennya, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pemain yang membuat kenyataan media berhubung isu tersebut.

Kata beliau, sehubungan itu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang dalam isu berkenaan yang disifatkan telah mencemarkan nama baik PFA yang baru melalui proses tranformasi.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar pemain tidak mudah terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Kita juga meminta agar para peminat tidak mudah melatah dalam isu ini (tunggakan gaji) kerana terdapat perkara dalaman yang tidak disentuh pemain yang seolah-olah hanya menampakkan kesalahan PFA sahaja.

“Kepemimpinan baharu di bawah presiden sentiasa memberikan yang terbaik walaupun baru tiga bulan mengambil alih pentadbiran. Beri peluang kepada pengurusan baharu untuk menguruskan Singa Utara yang sudah lama tidur... Berilah peluang untuk kami bangkit,” katanya salam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini, melaporkan nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang diibarat gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan.

Kesemua mereka sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Karim Khan berkata, PFA telah memanggil wakil pemain FAM, Piala Presiden dan Belia 2018 pada satu perjumpaan khas pada 7 Januari lalu untuk memberi penerangan berkaitan masalah kelewatan pembayaran dan tunggakan gaji pemain yang sepatutnya dibayar pada hari berkenaan seperti terkandung di dalam kontrak.

Namun kata beliau, hanya wakil pemain Piala Presiden dan Belia sahaja yang hadir pada masa berkenaan.

Dalam pada itu, Karim Khan berkata, para pemain seharusnya mendapat maklumat daripada pihak pengurusan dan sebarang kenyataan negatif yang diberikan kepada media tidak akan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.- UTUSAN ONLINE