Turun dengan misi memburu tiga mata, Kelantan mempamerkan aksi bertenaga apabila mengasak kubu pelawat seawal minit keempat menerusi tandukan kencang Nik Akif Syahiran Nik Mat namun gagal menepati sasaran.

Minit ke-14 Daniel Asyraf Abdullah terlepas peluang untuk meledakan jaringan selepas rembatan kencanganya melewati gawang gol PKNP FC biarpun penjaga gol pelawat Ahmad Asyraaf Omar sudah pun tertewas.

Selepas itu pelawat cuba bangkit dengan beberapa percubaan menarik namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan dan perkara sama turut menimpa pasukan TRW.

Bersambung babak kedua, serangan bertali arus pelawat ke kubu Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Hafiz Ramdan tenang memperdayakan penjaga gawang tuan rumah Mohammad Fikri Che Soh untuk gol pertama pada minit ke-61.

Minit ke-74, Stadium Sultan Muhammad IV kembali bergema dengan sorak kegembiraan apabila ledakan kencang Mohammad Imran Samso menghadiahkan jaringan penyamaan buat TRW sekaligus mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Tindakan teragak-agak penjaga gawang TRW Mohammad Fikri mengutip bola sebelum dicuri oleh Muhammad Shahrel Fikri mengundang padah apabila pemain itu menghadiahkan kemenangan buat PKNP FC pada minit ke-84. - UTUSAN ONLINE