Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata, pasukannya tidak harus keciciran mata pada perlawanan sekiranya mahu menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran.

“Sebenarnya kita tidak harus membuang mata kerana baki tujuh perlawanan yang perlu diharungi selepas ini cukup merumitkan untuk terus kekal di Liga Super.

“Walaupun kita dihukum dengan kesilapan kecil membolehkan Kedah menjaringkan gol, namun secara keseluruhan saya masih puas hati dengan persembahan pemain,” katanya.

Yusri memberitahu, barisan pemainnya yang masih lagi ‘mentah’ menyebabkan mereka mudah melakukan kesilapan setiap kali berdepan pasukan berpengalaman dalam liga.

Katanya, dia mahu pemainnya lebih fokus selepas ini untuk terus berjuang membebaskan pasukan daripada mengucapkan selamat datang ke Liga Perdana 2019. - UTUSAN ONLINE