Kane meledakkan dua gol sewaktu membantu Tottenham membenam Everton 6-2, hari ini, untuk terus meningkatkan tekanan ke atas dua pasukan yang menghuni kedudukan teratas carta Liga Perdana, Liverpool dan Manchester City.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino kini ketinggalan enam mata di belakang Liverpool dan dua mata berbanding City, dengan Kane percaya bahawa Tottenham mampu melangkah lebih jauh jika mereka terus kekal fokus.

“Semua orang bercakap tentang Liverpool dan Man City, kami pula hanya melaksanakan tanggungjawab seperti biasa. Perjalanan masih jauh. Kami kini berada dalam tempoh yang cukup sibuk,” kata Kane kepada Sky Sports.

Tottenham masih lagi segar daripada kemenangan ke atas musuh ketat mereka, Arsenal pada Piala Liga dan Kane mahu rentak itu diteruskan untuk perlawanan berikut.

“Kami telah mengharungi minggu yang hebat dan amat penting kami dapat meneruskan rentak konsisten ini. Jadual padat menanti kami, tetapi inilah masanya kami perlu mencipta kemenangan.

“Kami cuma perlu beraksi mantap pada Disember, Januari, Februari dan sebaik tiba bulan April kami perlu lihat di mana kami mampu berada,” kata Kane.

Son Heung-min turut menjaringkan dua gol di Goodison Park dan pemain antarabangsa Korea Selatan itu percaya Spurs perlu terus beri tumpuan terhadap persembahan mereka sendiri berbanding terlalu memikirkan tentang pasukan lain.

“Kami tidak bernasib baik apabila ketinggalan 0-1, tetapi selepas itu, kami mula mempamerkan perwatakan dan mentaliti sebenar untuk bangkit serta menjaringkan enam gol. Kami cuma perlu fokus kepada permainan sendiri dan mengharungi perlawanan demi perlawanan. Selepas itu, baharulah kita lihat apa yang berlaku kerana perjalanan masih panjang,” ujar Heung-min.

Turut menjadi penyumbang gol ialah Dele Alli dan Christian Eriksen. Selepas ini, anak-anak buat Pochettino akan melayan kunjungan Bournemouth dalam aksi ‘Boxing Day’ sebelum bertemu Wolverhamtpton pada 29 Disember dan Cardiff City pada tahun baharu. – REUTERS