FERNANDO Torres (kiri) berharap rakan sepasukannya Antoine Griezmann (kanan) akan terus kekal bersama Atletico Madrid pada musim-musim akan datang.

Penasihat Griezmann mendakwa, pada minggu lalu Real Madrid bersama Manchester United, Manchester City, Chelsea dan Barcelona mula bertanya mengenai masa depan pemain itu.

Pada hujung minggu lalu, L’Equipe melaporkan bahawa terdapat pelan rahsia yang menyaksikan Griezmann akan kekal di Atletico untuk semusim lagi sebelum menyertai Real pada musim panas akan datang.

Bagaimanapun, Torres berkata, bintang Perancis itu perlu kekal di Ateltico kerana segala yang diperlukannya ada bersama kelab itu.

“Ke mana awak mahu pergi untuk menambah baik segala yang awak ada di Atletico? Tidak banyak kelab di dunia ini mampu menawarkannya.

“Saya harap dia akan kekal bersama kami selamanya. Apabila pemain muda menjadi antara pemain terbaik dunia, semua mahukannya.

“Awak boleh ke mana sahaja yang awak mahu di dunia ini tetapi mereka tidak mampu menyediakan apa yang disediakan Atletico ketika ini iaitu bersaing dalam liga, Liga Juara-Juara dan menjadi antara pasukan yang paling dihormati di Eropah, jadi tiada sebab untuk meninggalkan Atletico,” kata Torres.-AGENSI