Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi berkata, ketika ini pasukan tersebut sudah menandatangani tiga pemain import iaitu dari Korea Selatan, Sweden dan Montenegro.

“Sepatutnya kita menandatangani empat pemain tetapi seorang lagi belum memberi kata putus. Kita sedang mencari pemain import di bahagian tengah.

“Kita berharap sebelum hujung tahun ini pasukan ini akan lengkap. Pada masa yang sama, jurulatih Mat Zan Mat Aris ada memberitahu terdapat beberapa pemain yang berminat untuk bermain bersama Melaka United tetapi masih terikat dengan kontrak pasukan mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Melaka United memperkemaskan jentera pasukan itu dengan kehadiran pemain import terbaharu, Ilija Spasojevic dari Montenegro, pemain ketiga selepas dua pemain import dari Sweden, Labinot Harbuzi dan Shin Jae Pil dari Korea Selatan yang ditandatangani pada 15 November lalu.

Spasojevic, 28, pernah bermain dengan pasukan dari Indonesia iaitu Persib Bandung sebagai penyerang dan membantu pasukan itu menjuarai liga di sana.

Tambah Yusoff, Melaka United akan berkunjung ke vietnam pada 15 Disember ini selama seminggu untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab bola sepak di negara itu.

“Sebanyak 22 pemain skuad Sang Kancil akan dibawa ke Vietnam dan kebanyakan daripada mereka merupakan pemain baharu kecuali lapan pemain skuad yang dikekalkan. Ketika ini masih terdapat tiga kekosongan pemain tempatan yang belum diisi,” katanya.