Dalam ketika bek kiri, Syazwan Andik dan pemain sayap, Mohamadou Sumareh masih dibelenggu masalah hamstring dan tidak pasti dapat diturunkan di Stadium Rajamangala, esok, perkembangan Aidil nyata menimbulkan kebimbangan buat skuad kebangsaan.

“Suara saya tidak berapa nak keluar dan saya rasa macam nak demam,” kata Aidil kepada Utusan Malaysia.

Kekosongan Syazwan mungkin diisi oleh Nazirul Naim Che Hashim, manakala, Akhyar Rashid dijangka menggantikan Sumareh. Pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria dilihat sebagai calon terbaik untuk mengambil alih posisi Aidil di bek tengah.

Mengulas lanjut mengenai masalah kecederaan yang menghantui Harimau Malaya, jurulatih­nya, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan ada pemain yang akan diturunkan buat kali pertama untuk menampung kekosongan.

“Ada tiga pemain yang berada dalam pemantauan. Kami masih ada satu hari untuk me­lakukan persiapan dan penting setiap pemain bersedia bagi menghadapi perlawanan esok, walaupun sesetengah daripada mereka mungkin akan turun beraksi buat kali pertama.

“Syazwan perlu dipantau untuk sehari lagi sebelum me­nerima laporan lengkap daripada doktor. Bagaimanapun, saya yakin berbekalkan semangat dan galakkan daripada rakan sepasukan akan membantu mereka untuk aksi esok,” katanya.

Begitu pun, Sumareh dilihat sudah menjalani latihan bersama Harimau Malaya di Bangkok semalam. Pemain sayap itu sebelum ini tidak diturunkan ketika Harimau Malaya menewaskan Laos 3-1 akibat kecederaan.

Thailand yang kebal setiap kali beraksi di Bangkok, malah, turut menjaringkan 14 gol sepanjang kempen peringkat kumpulan, bagaimanapun, tidak mengganggu fokus Cheng Hoe apabila pengendali skuad kebangsaan itu berkata, tidak mustahil untuk Malaysia menempah tiket ke pentas akhir sekiranya fokus diberikan sepanjang 90 minit beraksi.