Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, tindakan itu wajar diambil untuk mendidik penyokong bola sepak agar lebih berdisiplin dan seterus­nya memajukan bola sepak negara.

“Pendapat saya, mana-mana penyokong yang membuat kekacauan, kita hukum pasukan mereka dengan menolak kutipan mata.

“Jangan hukum pasukan de­ngan mengenakan denda kerana penyokong tidak peduli soal duit persatuan. Tidak ada penyokong yang mahu (melihat) kerana kebodohan mereka sendiri, pasukan mereka akan ditolak mata,” katanya me­ngulas mengenai kekecohan selepas tamat perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Perak dalam kempen Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Tunku Ismail kesal terhadap Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang membuat aduan kepada FAM dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai pengecut dengan meletakkan kesalahan kepada penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Bagi saya itu, merupakan satu tindakan yang pengecut. Oleh kerana takut kena denda, takut duit persatuan keluar, jadi mereka tuduh penyokong JDT yang mula mencetuskan kekacauan.

“Logik ke 100 penyokong sanggup berbuat demikian terhadap penyokong tuan rumah? Pasukan lain seperti Selangor dan Sarawak juga mengalami masalah yang sama ketika bermain di Perak.

“Kenapa sampai bas dan kereta pun turut sama dirosakkan. Dalam hal ini, saya turut menyalahkan FAM kerana tidak tegas dan konsisten dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan pasukan negeri lain menitikberatkan soal keselamatan penyokong di stadium seperti yang dilakukan JDT dengan menempatkan marsyal bagi menjaga ketenteraman sepanjang perlawanan.

“Mana-mana penyokong yang buat masalah telah kami haramkan dan tidak dibenarkan memasuki stadium. Ini menunjukkan kami tegas dalam soal ini,” katanya.