Kemenangan itu menyaksikan skuad Tok Gajah berkongsi kedudukan teratas bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul enam mata maksimum selepas mengharungi dua perlawanan. 

Beraksi di gelanggang sendiri, skuad bimbingan Dollah Salleh itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi mereka, Dickson Nwakaeme yang menyudahkan hantaran lintang Mohamadou Sumareh pada minit ke-12 perlawanan.

Ia merupakan jaringan ketiga Nwakaeme yang terkenal dengan jolokan 'Orang Besi' dalam dua perlawanan Liga Super musim ini.

Pahang hampir menggandakan jaringan pada penghujung babak pertama permainan namun sepakan percuma pemain importnya, Jose Eduardo atau le­bih dikenali sebagai Ze Love sekadar singgah di palang gol.

Pemain pertahanan, Goulon Herold Mark menceriakan penyokong tuan rumah dengan jaringan kedua skuad Tok Gajah pada minit ke-51 selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru diambil Saddil Ramdani.

Norshahrul Idlan Talaha yang masuk sebagai pemain gantian melengkapkan malam cemerlang Pahang menerusi jaringan ketiga pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, kekalahan TFC menyaksikan naib juara Piala Malaysia 2018 berkenaan gagal membuka kempen musim baharu Liga Super dengan langkah positif apabila hanya mampu mengutip satu mata daripada dua perlawanan.

Dalam aksi pembukaan Liga Super minggu lalu, Pahang membenam cabaran Kuala Lumpur 3-1 manakala TFC sekadar seri 1-1 dengan PKNS FC. - UTUSAN ONLINE