Tok Gajah memanfaatkan sepenuhnya keputusan seri 1-1 yang dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kedah semalam apabila mengetepikan Harimau Selatan di tangga kedua menerusi perbezaan gol.

Selepas tujuh perlawanan, Pahang dan JDT berkongsi 17 mata tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan manakala Kedah menghuni tangga ketiga dengan 12 mata.

Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha membolehkan Pahang bermula langkah kanan apabila membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-45.

Bagaimanapun Felda United tidak mudah mengakui kalah, sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Thiago Aquino yang menandul hantaran Mohd. Hadin Azman hanya empat minit selepas babak kedua bersambung.

Pahang yang turut kehilangan khidmat bintang tengah Indonesia, Saddil Ramdani tidak terkesan dengan gol penyamaan tuan rumah, dan memasuki minit ke-64 Jose Eduardo atau Ze Love meletakkan anak-anak buah Dollah Salleh kembali di depan menerusi sepakan penalti.

Mohamad Faisal Abdul Halim yang masuk pada separuh masa kedua menggantikan Muhamadou Sumareh melengkapkan malam cemerlang Tok Gajah apabila mengesahkan gol ketia pada minit ke-90. - UTUSAN ONLINE