Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun dalam responsnya berpendirian hukuman itu terlalu lama dan berharap PBNP mengemukakan rayuan agar tempoh itu diringankan.

PBNP dilarang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun iaitu pada 2018 dan 2019 bagi menyertai ‘Pertandingan Kelab AFC’ pada 2019 dan 2020 oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk yang memutuskan mereka bersalah kerana melanggar Artikel 14 Statut FAM.

Larangan itu menyaksikan skuad Tok Gajah tidak berpeluang untuk mewakili Malaysia dalam Liga Juara-juara Asia atau Piala AFC 2019 dan 2020 jika layak.

Hukuman itu dikenakan ke atas Pahang kerana PBNP berkeras untuk tidak menghantar skuad Tok Gajah menyertai Piala AFC 2018 sebagai pengganti Kedah yang gagal dalam permohonan mendapatkan Lesen Kelab AFC.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Pahang telah me­langgar Artikel 14 (obligasi ahli) Statut FAM dengan gagal mematuhi arahan FAM untuk mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam pertandingan itu, walaupun menduduki tempat kedua Liga Super 2017 dan mempunyai kelulusan Lesen Kelab AFC yang melayakkan skuad Tok Gajah ber­aksi dalam pertandingan peringkat benua itu.

“Mengikut peruntukan Artikel 14 Statut FAM – Obligasi ahli me­nuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM pada setiap masa. Pahang juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, namun keputusan ini boleh dirayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu Tunku Ismail berharap Pahang membuat rayuan agar Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM meringankan hukuman ke atas mereka.

“Saya berharap pasukan Pahang akan merayu keputusan Jawatankuasa Tatatertib kerana tempoh dua tahun bagi saya adalah terlalu lama. Saya juga berharap Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM akan mempertimbangkan pandangan saya ini dan meringankan hukuman pa­sukan Pahang jikalau boleh.

“Pahang adalah sebuah pasukan yang hebat dan amat berpotensi. Mereka adalah pasukan yang hebat untuk mewakili negara dalam pertandingan AFC dan boleh membantu ranking pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebook rasmi FAM.

Dalam perkembangan ber­asingan, FAM turut menjatuhkan hukuman kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) ekoran tindakan penyokong skuad The Bos Gaurus yang mencetuskan kekecohan ketika Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak pada 15 Oktober lalu.

“Perak didenda sebanyak RM35,000 secara keseluruhan, bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri (1+1) dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi ke­salahan yang sama,” kata Baljit.

Sementara itu, empat pemain Terengganu City FC berdepan hukuman penggantungan perlawanan serta denda kerana berkelakuan ganas terhadap pemain lawan dan tidak menunjukkan semangat kesukanan ketika menentang Felcra FC dalam suku akhir kedua Piala FAM di Arena Universiti Malaya pada 27 September lalu.

Menurut kenyataan itu, Mohd. Haris Safwan Mohd. Kamal digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantu­ngan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM1,500 kerana menampar pemain Felcra FC (Ammar Akhmal Alias).

Shafuan Adli Shaari dan Syam Shahril Ghulam pula digantung lima perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM3,000 apabila tidak masuk ke padang dan mengejar pengadil perlawanan (Abd. Rahman Wahab).

Seorang lagi, Zulkipli Ismail digantung selama enam bulan berkuat kuasa serta merta dari 20 Disember 2017 hingga 19 Jun 2018, didenda sebanyak RM5,000 serta diberi amaran keras.

Menurut Baljit, hukuman itu dijatuhkan selepas Zulkipli didapati bersalah menendang penolong pengadil 1 (Mohd. Khairul Nizam Radzali) di bahagian betis kiri.