Persoalan itu timbul selepas baginda seolah-olah memberi isyarat mahu melebarkan sayapnya ke Eropah dengan berkata menerusi Twitter bahawa kelab bola sepak dari London kini menjadi pilihan selepas impian mendapatkan AC Milan terpaksa dilenyapkan.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu berkata, ini kerana strategi untuk melabur dalam pasukan gergasi Serie A, AC Milan dianggapnya satu langkah yang kurang tepat memandangkan pasukan gergasi dari Itali itu mempunyai hutang sebanyak RM2.876 bilion.

“(Mendapatkan AC Milan) sentiasa menjadi impian saya. Milan merupakan pasukan yang besar tetapi malangnya, mereka kini berhutang lebih 600 juta (euro).

“Jadi itu bukan idea yang bagus. Pasukan yang ideal untuk dimiliki adalah kelab dari London,” katanya menerusi akaun Twitter @HRHJohorII.

Chelsea dimiliki oleh jutawan dari Rusia, Roman Abramovich manakala Arsenal dikuasai oleh Stan Kroenke dari Amerika Syarikat. Spurs pula dimiliki oleh Joe Lewis dan Daniel Levy menerusi ENIC Group.

Selain tiga kelab Liga Perdana Inggeris itu, West Ham, Fulham dan Crystal Palace merupakan tiga lagi pasukan besar yang berpangkalan di London dan beraksi dalam liga utama itu.

Pada Jun lalu, pemilik AC Milan, Li Yonghong berhasrat menjual sebahagian kecil sahamnya agar dapat melunaskan hutangnya.

Menurut beberapa media di Italia, La Gazzetta dello Sport dan Il Giornale, Li telah menemukan seseorang yang dipersiapkan untuk menjadi pemegang saham minoriti.

Pelabur itu akan membeli saham antara 20 hingga 49 peratus milik Li. Seperti biasa di bawah pengurusan Li, identiti setiap pelabur yang berpotensi untuk membantu AC Milan dirahsiakan olehnya namun nama TMJ disebut-sebut dalam laporan akhbar di Itali.