Menerusi entri terbaharu laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers hari ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mahu ahli gabungan FAM bangkit kembali dengan penyertaan penyokong.

“Perpaduan adalah kekuatan kita. Apabila adanya kerja sepasukan dan kolaborasi, perkara yang menarik akan dapat dicapai. JDT adalah bukti yang jelas tetapi anda perlu memahami bahawa JDT adalah sebuah kelab.

“FAM adalah organisasi besar dengan langkah untuk mempertingkatkannya bukanlah untuk skuad kebangsaan pergi ke Piala Dunia tetapi ia perkara pertama yang perlu dilakukan untuk membersihkan rumah kita dan untuk memperbaiki struktur persatuan.

“FAM dikendalikan oleh ahli-ahli gabungan. Sesetengah ahli gabungan mencintai bola sepak, sesetengah ahli gabungan pula tidak menyukai bola sepak. Kepada mereka yang tidak sukakan bola sepak, mereka berada di sana dengan alasan yang saya tidak tahu.

“Ideanya adalah agar ahli-ahli gabungan bangkit dan mula bekerja keras bermula dengan kelab mereka sendiri. Kedua, mereka perlu kembalikan kuasa bola sepak kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) tidak mengulas lebih lanjut mengenai rancangan sebenarnya, sebaliknya lebih selesa berteka-teki.

“Sekali lagi, saya akan kongsikannya dengan anda tidak lama lagi tetapi bukan sekarang. Ramai orang yang ingin tahu apa yang saya fikirkan ketika ini.

“Saya tidak mahu menyatakannya kepada media, saya tidak mahu beritahu mereka apa yang saya fikirkan dan apa yang akan saya lakukan.

“Tetapi ketahuilah, apa yang akan saya lakukan tidak akan dilupakan oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia di negara ini. Saya tidak memerlukan masa yang lama untuk melakukannya.

“Apa sahaja yang saya lakukan, saya melakukannya untuk rakyat. Ia bukan untuk diri saya, sebagaimana semua tahu bahawa bola sepak bukanlah periuk nasi saya,” katanya.

Sementara itu, TMJ turut mengesyaki ahli gabungan FAM akan menyokong bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dengan mendakwa ia arahan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Saya rasa belum masa sesuai untuk bercakap mengenai keinginan atau visi saya. Namun saya akan berkongsi dengan rakyat tidak lama lagi.

“Tidak ada gunanya memberitahu orang sekarang, dan kemudian saya yang rugi kerana saya tahu banyak negeri yang akan menyokong Tan Sri Annuar Musa dengan arahan Menteri Belia dan Sukan,” katanya.- UTUSAN ONLINE