Tiote merupakan bekas tonggak Newcastle United yang mempunyai lebih 150 penampilan bersama Magpies pernah memenangi kejohanan Piala Negara Afrika pada 2015, biarpun dia terlepas aksi final kerana kecederaan.

Pemain tengah ini juga turut beraksi mewakili negaranya dalam dua edisi Piala Dunia pada 2010 dan 2014.

“Ini merupakan sesuatu yang menyedihkan apabila saya mengesahkan klien, Tiote telah meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan bersama kelab.

“Ketika ini tidak banyak yang dapat kami kongsikan dan memohon agar ahli keluarganya diberikan privasi ketika menghadapi saat sukar ini. Kami mohon anda semua mendoakannya,” kata ejennya, Emanuele Palladino.

Tiote merupakan satu nama yang tidak asing lagi di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hampir tujuh tahun bersama Newcastle dan kenangan paling diingati apabila jaringan menakjubkannya dari luar kotak penalti membantu kelabnya bangkit mengikat kedudukan 4-4 menentang Arsenal di Stadium St. James Park. - REUTERS