Walaupun, pernah berjanji dia akan lebih mengutamakan keluarganya yang tinggal di Kristiansund, Norway berbanding bola sepak, namun, kerana ingin membalas budi United yang telah berjaya menjulang namanya antara 1996-2007, Solskjaer, 45, terpaksa memungkiri ikrarnya itu.

Itulah pengorbanan yang terpaksa dilakukan termasuk meninggalkan rumah agam di tepi laut yang dilengkapi kolam renang di tempat lahirnya yang sebelum ini dianggap sebagai kediaman terakhir untuk membesarkan anak-anaknya.

Anak-anak Solskjaer pernah dua kali menetap di Britain iaitu di Bramhall dekat Stockport ketika beraksi bersama United antara 1996 hingga 2007 dan sempat membeli sebuah rumah mewah di South Wales ketika menjadi pengurus Cardiff selama sembilan bulan pada 2014.

Solskjaer pernah berkata selepas meninggalkan Cardiff, dia perlu berpindah semula ke Norway pada 2015 semata-mata demi masa depan anak-anaknya yang sebelum itu terpaksa berpindah-randah mengikut keperluan kehidupannya sebagai pemain dan pengurus.

“Anak saya Elijah pernah berkata bahawa dia tidak akan keluar daripada Kristiansund lagi,” cerita Solskjaer pada 2017 kerana keluarganya sudah selesa tinggal di kampung kelahirannya itu sambil tidak mengimpikan lagi untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Tahun lalu, Solskjaer sendiri berjanji tidak akan berhijrah keluar daripada Norway untuk tempoh lima hingga 10 tahun kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pendidikan dan perkembangan anak-anaknya.

Namun, kerana United, Solskajaer terpaksa menelan kembali kata-katanya itu. Ditanya kenapa dia sanggup kembali ke England sebaik sahaja diumumkan sebagai pengurus sementara menggantikan Jose Mourinho yang dipecat, Solskjaer memberitahu, dia hanya memegang jawatan itu sehingga Mei 2019 dan selepas itu, akan kembali semula ke kelab asalnya, Molde.

“Dalam bola sepak, kita tak tahu apa akan terjadi. Tetapi kita boleh mengubahnya dari semasa ke semasa. Peluang ini terpaksa saya ambil. Saya tidak sabar membimbing United sehingga musim panas ini. Dalam waktu sama, saya akan pantau apa yang berlaku di kampung halaman saya. United jiwa saya dan kembalinya saya adalah sesuatu yang hebat,” katanya.

Sama ada pengorbanan Solskjaer ini berbaloi atau tidak, ia bakal ditentukan sejauh mana isterinya, Silje, 44, yang setia mampu mendidik tiga anak mereka tanpa kelibatnya di sisi, selain, kemampuan United untuk kembali menyinar di bawah bimbingannya.