Begitulah ibarat kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 0-1 kepada Shandong Luneng FC 0-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi.

Secara matematik, JDT masih berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati tetapi ia terlalu tipis.

Kekalahan mengejut 0-1 juara bertahan, Kashima Antlers kepada Gyeongnam FC dalam aksi di tempat sendiri, petang tadi menyelamatkan JDT buat seketika.

Itu bermakna, wakil China, Luneng kini merampas teraju Kumpulan E dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri manakala Kashima jatuh ke tangga kedua menerusi tujuh mata.

Gyeongnam FC berada di tempat ketiga menerusi lima mata dan JDT tercorot dengan hanya satu mata.

JDT kini wajib menang dalam baki dua perlawanan menentang Kashima di Larkin pada 8 Mei dan Gyeongnam FC di Changwon pada 22 Mei, sambil berharap Kashima pula tewas dalam dua baki saingan mereka.

Malah, Harimau Selatan tetap akan tersingkir sekali pun memenangi kedua-dua baki perlawanan jika Kashima seri dalam salah satu baki dua perlawanan atau Gyeongnam mencatat satu lagi kemenangan.

Dalam aksi di Larkin hari ini, Luneng melancarkan serangan pantas dengan mengasak kubu lawan sebelum berjaya mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-21.

Percubaan Graziano Pelle di hadapan pintu gol tidak dihalang mana-mana pemain tuan rumah membolehkan pasukan pelawat merobek gawang JDT.

Peluang terbaik JDT untuk menyamakan kedudukan muncul pada minit ke-50 namun pemain import, Diogo Luis Santo gagal menyempurnakan tandukan dihadapan pintu gol.

Shandong yang terus mengasak turut mendapat beberapa peluang khususnya pada minit-minit akhir permainan namun tidak berjaya menterjemahkan menjadi gol. - UTUSAN ONLINE