Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) itu berkata, FAS perlu lebih berhati-hati dalam memberi kenya­taan melibatkan isu sensitif.

“Kenyataan yang dikeluarkan adalah terburu-buru dan kurang bijak jika dilakukan tanpa sebarang bukti untuk menyokong. Saya fikir tiada pihak yang sepatutnya memberi kenya­taan serius seperti ini.

“Apabila kenyataan seperti itu dibuat ia boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa kurang se­nang, malah boleh memberi ke­san kepada pasukan lain terma­suk penaja. Secara tidak langsung ia juga boleh mengundang tanggapan negatif terhadap Liga M (Liga Malaysia),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, FAS dalam satu kenyataan mendakwa menerima laporan ada pemainnya terbabit dalam rasuah berikutan kekalahan kepada Felcra FC pada aksi Liga Perdana di ­Kuching, Sabtu lalu.

Sarawak mendahului 2-0 sebelum Felcra meledak tiga gol pada lewat permainan untuk menang menang 3-2.

Presiden FAS, Datuk Posa Majais kemudian mengarahkan pengurus pasukan, Kol. (PA) Wahab Abdul Rahim mengetuai siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Kevin juga berkata, ­FMLLP akan mengadakan pertemuan dengan FAS bagi membincangkan perkara itu secepat mungkin.

“Kami akan membuat kunjungan segera dan cuba memahami apa masalah yang dihadapi oleh FAS. FMLLP memandang serius me­ngenai perkara ini dan pada masa sama berharap tiada lagi kenya­taan seperti ini dikeluarkan mana-mana pasukan,” ujarnya lagi.