Tindakan pemain PSG itu dirakamkan penonton di Stade de France yang melihat insiden tersebut dan pelbagai maklum balas diberikan terhadap tindakan Neymar.

Pemain Brazil berusia 27 tahun itu dilihat cuba menolak telefon bimbit yang dihalakan kepadanya dan kelihatan seperti menolak dagu lelaki berkenaan menggunakan tangan.

“Saya tidak menyukainya. Kamu tidak boleh melakukan begitu, kamu melakukan perkara salah,” kata Tuchel apabila diminta mengulas mengenai insiden itu.

Dalam aksi itu, Neymar meledakkan gol pembukaan ketika PSG mendahului menerusi dua gol namun dinafikan dengan kebangkitan Rennes yang memaksa kedudukan terikat 2-2 sehingga masa tambahan permainan sebelum penentuan penalti yang memihak pasukan pelawat, 6-5.

“Bukan mudah untuk berjalan ke atas selepas kekalahan itu. Ia amat sukar kepada saya, untuk semua, namun kami harus menerima hakikatnya.

“Jika kita tewas, kita perlu menunjukkan rasa hormat. Kamu tidak boleh terbabit dalam pergaduhan dengan penonton,” tambahnya.

Sementara itu, menerusi status dalam Instagram peribadi, Neymar bertanya sama ada dia berkelakuan buruk.

“Adakah saya berkelakuan buruk?. Ya tetapi tidak semua orang boleh membuat pelbagai andaian,” tulisnya.- AFP