Annuar Musa

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu berkata, Kelantan kini berdepan diturunkan ke Liga Perdana akibat sekatan-sekatan yang dikenakan oleh kedua-dua badan tersebut.

“FMLLP dan FAM sudah boleh bergembira meraikan kejayaan mereka menghancurkan daya saing TRW, kini TRW sedang menuju ke Liga Perdana dan pelaburan penaja habis ke laut,” katanya menerusi catatan dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, KAFA berdepan beberapa isu dengan FMLLP antaranya dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super selepas persatuan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain pasukan tersebut musim lalu.

Selain itu, KAFA dikenakan sekatan mem­bawa masuk penyerang import dari Perancis, Seydi L Imam bagi menggantikan pemain import, Alessandro Podovani Celin.

Rayuan yang dikemukakan KAFA bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut turut ditolak FMLLP. Kelantan kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Super dengan 17 mata selepas 14 perlawanan hasil daripada enam kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.