Beckenbauer, yang mengetuai Jerman menjulang Piala Dunia pada 1974 dan melatih pasukan juara itu pada 1990, berkata, hanya segelintir peminat Jerman yang mampu membeli tiket mahal, selain bimbang dengan kadar jenayah di Afrika Selatan.

Hanya 6,700 daripada 21,000 tiket yang diperuntukkan bagi peminat Jerman, telah dibeli bagi menyaksikan Jerman menentang Ghana, Serbia dan Australia pada perlawanan peringkat kumpulan.

"Mereka yang bertandang ke sana, tidak hanya meragui tahap keselamatan, tetapi harga tiket juga terlalu mahal," kata Beckenbauer, ahli jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin.

"Apa yang orang biasa mampu beli dengan 5,000 hingga 6,000 euro (RM23,821 hingga RM28,585) selama seminggu?" Tambahnya tanpa menjelaskan bagaimana dia mendapat angka itu.

Tiket termurah bagi perlawanan pertama kejohanan itu, iaitu Afrika Selatan menentang Mexico di Johannesburg pada 11 Jun, berharga 140 euro (RM666.58), menurut laman web FIFA.

Harga tiket termahal ialah perlawanan akhir pada 11 Julai yang mencecah 630 euro (RM2,999), manakala tiket termurah bagi perlawanan peringkat kumpulan ialah 56 euro (RM266), manakala penginapan dikatakan semakin mahal sempena kejohanan itu.

Ketika penganjur berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan peminat pada Piala Dunia yang pertama diadakan di benua Afrika, kata Beckenbauer, masih ada isu keselamatan yang timbul.

"Penganjur telah melakukan segalanya untuk memastikan acara itu mendapat keselamatan yang terbaik.

"Mereka telah bersedia bagi hampir setiap jenis serangan, mereka tidak boleh lebih daripada itu.

"Namun, tiada negara di dunia kini yang mampu katakan mereka selamat seratus peratus," katanya.

Beckenbauer menawarkan nasihat buat peminat yang berhasrat untuk menyaksikan kejohanan tersebut.

"Orang ramai perlu dipantau ke mana mereka pergi. Cara yang terbaik ialah lebih berwaspada, sentiasa berkumpulan, walau ke mana sahaja," katanya. - AFP