Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Melaka, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata tiket dijual pada harga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

“Orang ramai diminta agar membeli tiket lebih awal untuk mengelak kesesakan di kaunter tiket yang akan mula dibuka pada 10 pagi,” katanya hari ini.

Beliau berkata, Stadium Hang Jebat mampu menampung 40,000 penonton pada satu-satu masa dan pihaknya yakin tidak akan mengalami masalah untuk menampung jumlah penyokong negara yang datang pada Selasa ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga mempelawa semua penyokong terutamanya daripada kelab Ultras Malaya agar ke stadium untuk memberi semangat moral kepada pasukan negara.

“Pada saya kehadiran Ultras Malaya ke stadium adalah penting kerana mereka mampu membangkitkan semagat penyokong lain untuk memberi sokongan penuh kepada pemain kebangsaan yang beraksi di padang,” katanya.

Mohd. Yusoff berkata, beliau berharap skuad negara mampu mencipta kemenangan di laman sendiri untuk mengubati kekecewaan penyokong skuad bawah 22 tahun negara yang tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam baru-baru ini.