Namun bagi wira yang tidak didendang ini iaitu Fernandinho, John Stones dan Nicolas Otamendi, mereka memainkan peranan penting di atas kejayaan City setakat ini.

Tidak seperti sumbangan Kevin De Bryune, David Silva, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus yang diperbesar-besarkan sehingga terhasilnya 52 gol, kekebalan benteng City jarang mendapat perhatian dan pujian walhal merekalah orang yang bertanggungjawab mengekalkan rekod tanpa kalah City dalam 10 perlawanan liga domestik.

Pep Guardiola bagaimanapun menyedari kehebatan trio ini menyebabkan pengendali dari Sepanyol itu dilihat kerap menurun­kan mereka dalam kesebelasan utama City. Hasilnya gawang City hanya dibolosi 11 kali dalam 17 perlawanan membabitkan semua pertandingan musim ini.

Malah bukan itu sahaja, biar pun bermain di barisan pertahanan, trio ini juga mampu menjaringkan gol untuk City. Berdasarkan statistik, Stones dan Otamendi sudah menjaringkan tiga gol manakala Fernandinho yang juga boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan sudah menjaringkan dua gol setakat ini.

“Saya merasakan Fernandinho sekarang boleh dianggap sebagai antara satu daripada tiga pemain tengah bertahan terbaik dunia. Bersama dengan John dan Nico, Fernandinho berjaya berada satu tahap lagi di atas menerusi sikap positif dan mentalitinya di dalam padang.

“Dia banyak menyumbang kepada kami,” kata Guardiola selepas pasukannya menewaskan Arsenal 3-1 minggu lalu.

Berdasarkan rekod perlawanan, Ota­mendi misalnya muncul pemain pa­ling banyak menyentuh bola jika digabungkan aksinya dalam liga domestik dan Liga Juara Juara Eropah, diikuti Stones, Fernandinho dan De Bruyne.

Begitu juga rekod hantaran bola paling banyak turut dipegang Otamendi diikuti Fernandinho dan Stones. Bagaima­napun dalam membuat hantaran tepat, Stones muncul terbaik, diikuti Otamendi manakala Fernandinho keempat di belakang De Bruyne. – REUTERS