Hamidin turut menjelaskan bahawa Tan Sri Annuar Musa masih boleh bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM walaupun bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu dilanda kontroversi selepas dinasihatkan bercuti daripada tugasnya sebagai Pengerusi Mara berkuat kuasa pada Selasa lalu.

Mengulas mengenai pencalonan Khairy, Hamidin berkata perkara itu tidak perlu diperbesarkan sebagai campur tangan kerajaan ke atas FAM apatah lagi beliau dicalonkan oleh badan gabungan FAM. Bagaimanapun, katanya Khairy masih belum memberi pengesahan sama ada akan bertanding untuk kerusi No.1 FAM kerana hingga kini pihaknya masih belum menerima jawapan daripadanya.

Menurut Hamidin, terdapat persatuan bola sepak di negara lain turut dinaungi Menteri Sukan mereka.

“Kami memahami di luar negara, Kesatuan Bola Sepak Rusia dipimpin oleh Menteri Sukan negara tersebut. Jadi, kita perlu ingat bahawa Khairy telah dicalonkan namun masih belum mengesahkan sama ada bersetuju untuk bertanding atau tidak. Kita perlu tunggu hingga 13 Februari ini.

“Kita mesti beri ruang kepada beliau. Sama ada mengundang campur tangan daripada pihak kerajaan atau sebaliknya saya tidak perlu ulas perkara ini kerana tidak mahu disalah tafsirkan tambahan pula Datuk Paul (John Windsor), Setiausaha Agung Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, (AFC) sudah pun memberi kenyataan,” katanya.

Ditanya mengenai isu Annuar, Hamidin berkata bekas Presiden Kafa itu tidak menyalahi peraturan dan masih layak bertanding untuk kerusi Presiden FAM.

“Menyentuh mengenai Tan Sri Annuar pula, setakat hari ini dalam Statut FAM, Artikel 8 ada tiga perkara yang tidak melayakkan seseorang warganegara Malaysia untuk bertanding. Pertama, diisytihar muflis, kemudian lima tahun kebelakangan ini dijatuhkan hukuman, dan ketiga calon telah didakwa.

“Tan Sri Annuar tidak berada dalam kategori ini dan beliau layak untuk bertanding,” katanya selepas majlis undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu sudah ada calon yang telah mengesahkan pencalonan mereka malah tidak ketinggalan juga menarik diri namun beliau enggan mendedahkan nama mereka.

Hamidin juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk sebarang jawatan.