Selepas menang 5-3 dalam perlawanan pertama bulan lalu, City kurang agresif dalam aksi kedua peringkat 16 terbaik dan mereka tumpas 1-3 sekali gus tersingkir menerusi peraturan gol tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat 6-6 secara agregat.

“Saya cuba meyakinkan mereka dalam semua pertemuan yang kami adakan sebelum ke sini, cuba menyerang dan menjaringkan gol.

“Kesilapan terbesar saya adalah gagal meyakinkan mereka untuk berbuat demikian. Saya berjaya meyakinkan mereka pada babak kedua, malangnya sudah terlalu lewat.

“Semua pengurus melakukan kesilapan tetapi saya tidak fikir ini disebabkan kesilapan taktikal.

“Perbezaan antara babak pertama dan kedua... pada babak kedua, kami berusaha memenangi perlawanan dan bermain dengan betul, namun itu tidak berlaku ketika separuh masa pertama. Kami tiada di situ,” kata Guardiola kepada pemberita selepas perlawanan.

Jurulatih dari Sepanyol itu menegaskan, kekurangan personaliti dan tidak agresif adalah punca pasukannya tewas dan bukan disebabkan isu pertahanan.

Walaupun City tiba di Perancis bersama kelebihan, namun tuan rumah tampak lebih bersemangat dengan meledak dua gol menerusi Kylian Mbappe Lottin serta Fabinho dalam tempoh 30 minit permainan bermula, sekali gus menyamakan agregat 5-5.

Leroy Sane meletakkan City di depan semula pada minit ke-71, namun enam minit kemudian tandukan Tiemoue Bakayoko membantu Monaco ke suku akhir Liga Juara-juara.

Monaco dilihat banyak membuka ruang untuk City menyerang, namun Guardiola mengakui trio serangannya - Sergio Aguero, Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling gagal memanfaatkan peluang tersebut.

“Bukan disebabkan barisan pertahanan tetapi penyerang kami yang sepatutnya perlu lebih agresif dan pergi mendapatkan bola. Ternyata kami tidak berupaya. Itu sebab kami terkandas.

“Kami juga perlu agresif ketika bola tiada di kaki. Kami agak lembab secara keseluruhannya, yang merupakan penyebab kami mudah melepaskan bola dalam saingan bertaraf Eropah,” katanya. – AGENSI