Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu bagi mengelakkan berlaku kekecohan seperti yang berlaku ketika final Piala Malaysia tahun lalu.

"Saya beri jaminan kepada seluruh rakyat negeri ini bahawa amalan mengagih tiket melalui saluran politik akan kami hentikan sepenuhnya. Semua tiket akan dijual sama rata supaya siapa juga yang nak lihat pasukan kita di mana-mana peringkat berpeluang mendapatkan tiket tersebut.

"Apa yang berlaku pada tahun lalu memalukan dan mengecewakan penyokong tegar Kedah di mana tiket yang sepatutnya dijual, dibedak (diagih) dalam kalangan orang politik untuk diberikan sebagai tanda sagu hati kepada penyokong mereka di setiap daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ambang 100 hari Pakatan Harapan Kedah di Stadium Suka Menanti di sini, malam tadi.

Hadir sama sebahagian besar Exco antaranya Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr. Ismail Salleh, Pengerusi Jawtankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumberi Air dan Tenaga, Zamri Yusuf serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin.

Mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menilai semula kedudukan orang politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mukhriz seakan mengakui yang perkara itu seolah-olah tidak dipenuhi setelah beliau diamanahkan untuk memegang jawatan tertinggi iaitu Presiden.

"Saya akui atas pemilihan gabungan KFA, maka saya menang jawatan Presiden walaupun saya dianggap sebagai orang politik. Harap faham keadaan itu kerana bukan saya yang minta atau melobi sebaliknya telah diminta untuk terajui semua pasukan ini oleh KFA kerana prestasi pasukan mencapai tahap cemerlang ketika kali pertama memegang jawatan ini dulu.

"Begitu pun perlu saya jelaskan, sebelum ini kita dapati terdapat ahli politik tak buat kerja lain selain berpolitik tetapi dilibatkan dengan pengurusan KFA. Daripada menguruskan pasukan yang sepatutnya dilakukan secara profesional, mereka ini melakukan pula perkara yang mendatangkan faedah untuk individu tertentu," katanya.

Antara contohnya kata beliau adalah perkhidmatan pengangkutan atau logistik yang melibatkan orang politik. - UTUSAN ONLINE