Walaupun Malaysia dianggap pasukan bukan pilihan kerana Korea Selatan turun selaku naib juara 2016, namun tidak mustahil untuk anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menundukkan skuad Taegeuk Warriors kerana mereka berjaya melepasi peringkat kumpulan meskipun berdepan lawan sukar.

“Kalau kami mengekalkan disiplin dan momentum saya fikir tidak mustahil untuk kami mengatasi lawan. Bagi saya semua pemain perlu sedar bahawa kami datang ke sini bukan sebagai penumpang, malah pemain simpanan dan skuad utama perlu bersedia 200 peratus.

“Kami perlu bersatu untuk menghadapi lawan dan sudah pasti perlawanan ini amat penting untuk kami dan berat tanggungjawabnya. Kami akan bertarung hingga ke wisel penamat pastinya kami tidak boleh hilang fokus sepanjang permainan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

kebanyakan pemain Korea Selatan mempunyai tubuh fizikal yang lebih tinggi berbanding skuad B-23 negara namun Adam berkata mereka boleh mengatasinya dengan perlu menggunakan kebijaksaan terutamanya mencari ruang dan peluang.

“Kalau nak mengelak daripada bertembung dengan lawan memang tidak boleh sebab dalam bola sepak pemain perlu berkongsi gelanggang jadi kami fikirkan bagaimana untuk mengurangkan daripada bertembung dengan pemain lawan.

“Kami perlu menggunakan kelajuan dan bijak mencari ruang dan peluang untuk mengatasi lawan. Kami tidak boleh melawan fizikal mereka begitu sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE