Ikon Sweden berusia 36 tahun itu membuat keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa selepas Kejohanan Eropah (Euro) dua tahun lalu namun terdapat spekulasi mengatakan bekas pemain Juventus, AC Milan, Barcelona dan Manchester United itu akan keluar daripada persaraannya.

“Zlatan sudah menjadi Pemain Terbaik Tahunan untuk Sweden banyak tahun namun selepas Euro dia berkata dia akan menamatkan karier bersama skuad kebangsaan negaranya, kami menghormati keputusan dia.

“Kami perlu fokus dan sekarang kami sudah tiba malah skuad juga sudah dipilih dan sesiapa yang dipilih perlu memberi aksi terbaik,” kata pertahanan Krasnodar yang berusia 33 tahun itu.

Granqvist menggantikan Ibrahimovic sebagai kapten memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Sweden pada tahun lalu menjadi pemain pertama merangkul anugerah tersebut yang sebelum ini didominasi oleh Ibrahimovic sejak 2006.

Sweden diletakkan dalam Kumpulan F bakal memulakan kempen mereka menentang Korea Selatan di Nizhny Novgorod pada 18 Jun sebelum bertemu penyandang juara, Jerman (24 Jun) dan Mexico (27 Jun).

Dalam pada itu, jurulatih, Janne Andersson berkata dia tidak bimbang walaupun Sweden sekadar mencatat satu kemenangan daripada enam perlawanan sejak menyingkirkan Itali pada aksi playoff, November lalu.

“Aksi persahabatan berbeza dengan perlawanan kompetitif seperti menentang Itali, kami yakin dengan diri sendiri untuk menghadapi Piala Dunia,” katanya.

Sweden turut menewaskan Perancis dalam aksi kelayakan selain menundukkan Belanda yang gagal menempah tiket ke Rusia. - AFP