Croatia terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan Kieran Trippier pada minit kelima tetapi Ivan Perisic menyamakan kedudukan di babak kedua sebelum Mario Mandzukic mengesahkan kemenangan dalam masa tambahan.

“Kami ketinggalan 1-0 dalam tiga perlawanan berturut-turut, kami menunjukkan karakter dan kami mengulanginya hari ini dalam masa tambahan.

“Kami adalah negara yang rakyatnya tidak pernah berputus asa dan berpegang pada maruah serta mempunyai karakter. Apa yang dilakukan pemain-pemain hari ini, kekuatan dan stamina yang ditunjukkan, tahap kecergasan mereka, saya mahu membuat pertukaran tetapi tidak ada sesiapa mahu keluar,” kata Dalic.

Skuad Vatreni berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan Denmark dan Rusia menerusi penentuan penalti.

Perancis akan menanti Croatia di final Ahad ini, dengan skuad kendalian Didier Deschamps mempunyai kelebihan rehat sehari dan mengharungi tempoh permainan kurang satu perlawanan.

Mereka juga muncul sebagai pasukan kedua dalam sejarah Piala Dunia terpaksa mengharungi aksi tambahan masa untuk tiga perlawanan berturut-turut, tetapi Dalic menegaskan mereka tidak akan menjadikannya sebagai alasan.

“Kami akan meraikan dan berehat dan kemudian bersiap untuk Perancis. Kami berdepan satu lagi tugasan sukar tetapi kami sudah bersedia.

“Kami mengharungi tambahan masa sebanyak tiga kali, tetapi itu salah kami. Kami tidak menjaringkan gol lebih awal, kami perlu tanya mengapa kami tidak melunaskan tugas dalam tempoh 90 minit.

“Tidak akan ada alasan, kami tidak perlu mengharungi jalan itu. Kami akan bermain seperti ini adalah perlawanan pertama di kejohanan ini. Kami tidak akan mencari alasan,” ujarnya. – AFP