Penjaga gol Republik Czech berusia 36 tahun itu mengumumkan persaraannya, kelmarin.

Selama 11 tahun bersama Chelsea, Cech telah berjaya meraih 13 trofi termasuk Liga Juara-Juara dan empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum menyertai The Gunners pada 2015.

Chelsea berminat mengekalkan hubungan baik dengan bekas pemain mereka yang menyumbang kepada kejayaan kelab dan bekas penyerang, Didier Drogba dan pemain tengah, Joe Cole antara berkhidmat bersama The Blues ketika ini.

Cech menyertai Chelsea dari Rennes pada 2004 dan pantas mencipta impak dengan kelab barat London apabila mencipta rekod baru dengan 228 aksi tanpa bolos dalam semua kejohanan.

The Times melaporkan Cech mungkin ditawarkan bidang kejurulatihan atau peranan duta.

Selepas mengumumkan persaraan, Cech mengakui tidak sabar untuk menjalani kehidupan di luar padang.

“Saya teruja menghadapi kehidupan di luar padang. Selepas 15 tahun di Liga Perdana dan menjulang banyak trofi, saya rasa telah mencapai sasaran. Saya akan terus bekerja keras di Arsenal dan berharap memenangi satu lagi trofi musim ini.” katanya - AGENSI