Naruephon menjelaskan, tindakan pemainnya, Sittichok Kannoo yang sebelum ini pernah berkata mereka lebih berminat untuk menentang Indonesia pada perlawanan akhir hanya ramalan semata-mata.

“Bagi saya, dia cuma meramalkan sahaja dan tiada pun yang salah atau pun betul. Mungkin perlawanan esok semua orang boleh meramalkannya.

“Mungkin ada orang akan cakap Thailand akan menang dan mungkin ada yang berkata mungkin Malaysia menang. Bagaimanapun, hanya keputusan di atas padang sahaja yang dapat menentukannya. Apa-apa pun kami menghormati lawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pra perlawanan akhir di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Sittichok melancarkan serangan psikologi terhadap Malaysia apabila memberitahu, pasukannya lebih berminat untuk menentang Indonesia dalam perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Ke-29.

Bagaimanapun, pertemuan itu tidak dapat dilakukan kerana Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Naruephon berkata biarpun pasukannya seri 1-1 ketika menentang Indonesia dalam aksi kumpulan pada 15 Ogos lalu manakala Malaysia berjaya menumpaskan lawan yang sama, keputusan itu tidak boleh diambil kira.

“Keputusan perlawanan itu tidak boleh dibandingkan sebab itu tidak menunjukkan siapa yang hebat kerana setiap lawan menghadapi perlawanan yang berbeza dan pastinya esok kami akan buat yang terbaik untuk menang,” katanya.

Sementara itu, pengendali Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau tidak melihat pasukannya menjadi pilihan dalam pertemuan esok biarpun beraksi di laman sendiri.

“Thailand pasukan yang bagus dan menjadi pilihan bukan sahaja untuk skuad muda namun skuad senior namun dalam final tiada pasukan pilihan. Penting untuk kami dapatkan keputusan positif di mana sendiri,” katanya.