Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kali pertama yang dipengerusikan presidennya yang baharu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bersetuju untuk mengekalkan pasukan itu.

Sehubungan dengan itu,TFC II yang diharap dapat berfungsi sebagai ‘feeder team’ sebagaimana motif asal penubuhannya, akan akan terus bersaing dalam Liga FAM pada tahun 2019.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dalam satu kenyataan memberitahu, pasukan TFC pula akan terus dimantapkan.

“Bagi tujuan itu katanya, PBSNT bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan yang akan bertanggungjawab menguruskan pembangunan bola sepak negeri ini dengan lebih tersusun, sistematik dan holistik.

“PBSNT juga telah menyusun beberapa langkah proaktif dalam memperkukuhkan saingan di masa hadapan yang akan diumumkan dari masa ke semasa.

“Tumpuan buat masa ini adalah untuk Piala Malaysia dengan mengharapkan agar pasukan TFC terus mara.

“Kami berharap agar perancangan dan keputusan yang dibuat akan membuahkan hasil yang positif ke arah perkembangan bola sepak negeri,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE