Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu me­negaskan, beliau tidak terfikir hendak menarik diri lebih-lebih lagi ramai yang menyokong hasratnya untuk bertan­ding.

“Mengenai tarik diri, itu belum lagi... ilham tarik diri belum datang.

“Malah, tiada yang cadang supaya saya tarik diri sebaliknya banyak yang pesan jangan tarik diri. Tarik diri atau tidak, saya tidak mahu menjadikan pertandingan merebut jawatan presiden ini segala-galanya.

“Ini kerana saya lebih memikirkan soal rakyat, keharmonian dan kemenangan kerajaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)...TMJ (Tunku Mahkota Johor) adalah kawan baik saya,” katanya selepas Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-cawangan Seluruh Kedah 2017 di sini hari ini.

Menurutnya, ahli gabungan FAM yang bakal mengundi nanti sudah pasti mempunyai pilihan masing-masing maka tidak perlu untuknya berkempen atau ‘bermain politik’.

“Yang saya nak tegaskan, ini adalah soal bola... mesti ada semangat kesukanan. Sebab itu saya kurang memberi kenyataan mahu pun berkempen. Saya fikir hanya 39 orang sahaja yang akan mengundi dan majoriti sudah terlibat dalam bola ini lebih lama.

“Saya percaya mereka sudah ada pilihan masing-masing. Jadi, tidak perlulah saya berpolitik yang hanya mungkin mengeruhkan suasana kerana siapa pun yang jadi presiden, dia kena bekerja dan paling penting, prestasi bola Malaysia dipertingkat.

“Saya menang pun tak apa, kalah pun tak apa. Kalau saya kalah pun, saya boleh bantu,” katanya lagi.

Menjawab tindakan sesete­ngah pihak yang mempertikaikan kewibawaannya untuk menerajui FAM, beliau mengakui, tidak sempurna namun mempunyai sedikit kekuatan untuk memimpin persatuan tersebut.