Kapten Blues itu semalam mengumumkan, dia mahu melabuhkan kariernya yang gemilang selama 22 tahun bersama Chelsea sebaik sahaja musim ini berakhir. Dia menyertai Blues dari West Ham United pada 1995, namun hanya membuat penampilan bersama skuad senior pada 1998.

Keputusan tonggak pertahanan berusia 36 tahun itu juga menguatkan andaian bahawa dia bakal menggantung but selepas hanya membuat lima penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bagaimanapun, Terry menafikan perkara itu dengan memuat naik status di Instagram: “Ia detik yang sangat beremosi buat saya dan kelab ketika mengumumkan musim ini adalah musim terakhir saya sebagai pemain Chelsea.

“Saya dapat merasakan, saya masih mempunyai semangat bola sepak dalam diri, namun saya faham peluang saya di Chelsea semakin terhad. Jadi, sekarang adalah masanya untuk mencari cabaran baharu”.

Terry, yang masih kekal sebagai ketua pasukan Chelsea telah memenangi 14 kejuaraan bersama kelab London itu dalam 713 penampilan sejak membuat kemunculan sulung bersama skuad senior pada 1998.

Walaupun pengurus baharu Chelsea, Antonio Conte gemar menggunakan tiga pertahanan tengah, namun belum ada sebarang tanda Terry akan mendapat kepercayaannya sejak pemain itu pulih daripada kecederaan pada awal musim ini.

Pada ketika Chelsea mengharungi antara musim terbaiknya dalam Liga Perdana Inggeris dengan mengungguli carta menerusi kelebihan empat mata, peranan Terry bagaimanapun lebih sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Saya bersedia untuk kembali ke pangkuan kelab hebat ini pada masa akan datang, namun dengan peranan berbeza.

“Saya juga mahu menegaskan, perjalanan saya sebagai pemain bola sepak belum berakhir. Perjuangan kami juga masih jauh dan saya komited untuk menamatkan kempen musim ini pada kedudukan terbaik.

“Saya fokus sepenuhnya untuk membantu pasukan dan pengurus dalam apa juga cara sehingga akhir musim,” katanya lagi. - AFP