Chelsea menerusi satu kenyataan mengumumkan keputusan tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada anak tempatan London itu untuk karier bola sepaknya kelak.

Terry melakukan debut sulungnya bersama Chelsea pada 1998 dan telah menjaringkan sebanyak 66 gol daripada 713 penampilan.

Bekas skipper England itu merupakan pemain ketiga tertinggi melakukan penampilan dalam sejarah kelab dan menjadi kapten Chelsea dengan rekod 578 kali.

Sepanjang kariernya di Stamford Bridge, Terry memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali, Liga Europa, empat trofi Piala FA dan tiga kejuaraan Piala Liga.

Sementara itu, Terry berkata, selepas 22 tahun di Chelsea, beliau berterima kasih kepada semua pihak sepanjang berada di Stamford Bridge.

"Daripada jurulatih, rakan sepasukan, kakitangan hinggalah ke penyokong memberikan sokongan yang cukup padu. Saya akan membuat keputusan mengenai masa depan karier beberapa minggu lagi namun ketika ini hanya mahu memberikan fokus membantu Chelsea mencapai kejayaan.

"Saya dan kelab mempunyai hubungan yang hebat sepanjang karier di sini. Kami mempunyai perbincangan positif tetapi saya membuat keputusan ini adalah masa sesuai untuk meninggalkan kelab," kata Terry menerusi kenyataan di laman web rasmi Chelsea hari ini.

Menurut Terry, dia masih lagi boleh beraksi di peringkat tertinggi namun melihat peluangnya musim ini terhad di bawah bimbingan Antonio Conte.

"Saya mahu terus beraksi dan akan meneruskan karier bola sepak dengan cabaran baharu. Saya mahu menamatkan kempen akhir di sini sebagai pemain Chelsea dengan medal kejuaraan.

"Akhir sekali, tiada kata-kata yang mampu diucap bagi menggambarkan betapa sayangnya saya kepada kelab dan penyokong. Saya tidak akan dapat melupakan pengembaraan menakjubkan kita bersama di sini, terima kasih atas segalanya," katanya. - Agensi