Ketua pasukan negara Sa­fiq, selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala Malaysia untuk kali pertama pada Sabtu lalu, dirakamkan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kelompok dianggapnya ‘anti JDT’.

Dalam video berdurasi hampir seminit itu, Safiq secara tiba-tiba menjerit: “...all the haters.....! Gua champion sekarang...***. Lepas ini kau tengoklah!”.

Hamidin berkata, sama ada Safiq akan dihukum atau tidak, hanya Jawatankuasa Tatatertib yang boleh membuat keputusan ke atas ketua pasukan JDT itu.

“Perkara itu di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib dan mereka yang akan buat (keputusan). Kalau ada kes, adalah dan kalau tiada kes, tiadalah. Saya tidak boleh komen lebih lanjut,” kata Hamidin ketika ditemui di sini, malam tadi.

Hamidin juga tidak mengulas sama ada isu itu berada dalam perhatian Jawatankuasa Tatatertib.

Isu itu menjadi panas selepas video tersebut tersebar di media sosial dan beberapa pihak juga menganggap FAM harus menghukum Safiq selain meminta pemain tengah itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam pada itu, Hamidin tidak menganggap perkara tersebut bakal mengganggu fokus Safiq untuk beraksi dalam perlawanan kedua dengan Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile Isnin depan.

“Saya tahu isu itu banyak dimainkan di media sosial. Tapi saya fikir Safiq adalah pemain berpengalaman, dia tahu bagaimana nak uruskan diri.

“Jika diturunkan da­lam perlawanan kedua berdepan Korea Utara nanti, saya yakin dia mampu kawal perasaan dan tekanan,” katanya.

Safiq tidak boleh bermain dalam pertemuan pertama dengan Korea Utara malam ini kerana digantung satu perlawanan setelah mendapat kad merah ketika menentang Hong Kong pada 10 Oktober lalu. – UTUSAN