Klopp didapati berlebihan meraikan jaringan pada minit ke-96 daripada Divock Origi, yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Everton Jordan Pickford, dengan berlari memeluk Alisson Becker di dalam padang.

Dia bagaimanapun memohon maaf atas tindakannya itu selepas kemenangan 1-0 di Anfield tetapi FA mengumumkan Klopp didakwa melakukan salah laku.

Jurulatih berusia 51 tahun itu mempunyai tempoh sehingga Khamis ini untuk menjelaskan situasi berkenaan berhubung pertuduhan tersebut.

“Sejurus selepas permainan saya meminta maaf kepada (pengurus Everton) Marco Silva ketika kami bercakap antara satu sama lain.

“Saya memberitahunya betapa saya menghormati kerjanya. Apa yang boleh saya katakan? Saya bukan mahu berlari (ke dalam padang). Ia tiada dalam rancangan saya, saya tidak mahu berlari mendapatkan Ali (penjaga gol Alisson).

“Jelas ia sukar dihalang. Tidak bagus, tetapi telah berlaku,” kata Klopp selepas perlawanan tersebut.

Silva bagaimanapun menafikan permohonan maaf daripada bos Liverpool itu.

“Secara jujur, saya tidak nampak (mohon maaf) jadi saya tidak tahu apa yang dia lakukan dan bagaimana dia buat,” ujar Silva.- AFP