Penyerang kebangsaan berusia 22 tahun itu berkata, selepas menerima maklumat bahawa kereta Proton Iswara biru bernombor pendaftaran TQ 5198 itu berada di stesen minyak Shell di Ampang, dia telah menghubungi balai polis di kawasan tersebut untuk mengenal pasti.

“Awal pagi tadi, saya ada dapat panggilan kereta saya ada di stesen minyak Shell Ampang...selepas itu saya terus menghubungi balai polis berdekatan untuk memastikan perkara itu.

“Polis mengesahkan itu adalah kereta saya cuma nombor plat kenderaan telah ditukar, tempat kunci sudah rosak, tiga but bola saya dan dua kasut sukan hilang. Apa pun saya tetap bersyukur kerana kereta itu ditemui kerana setahu saya kalau kereta hilang sukar nak jumpa balik.

“Terima kasih kepada pihak polis dan seluruh rakyat Malaysia yang membantu saya sehingga menemui semula kereta ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Awal pagi tadi, Polis Selangor mengesahkan menemui kereta terbabit di sebuah stesen minyak di Ampang.

Thanabalan menjelaskan kereta tersebut yang dibeli dengan harga RM3,000 pada 2016 dan sering digunakan untuk ke tempat menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan.

Tambahnya walaupun ia kereta terpakai tetapi amat berjasa kepadanya dan keluarga, malah mempunyai nilai sentimental yang sukar dicari ganti.

“Saya dan keluarga amat sayangkan kereta itu kerana ia bukan saja digunakan oleh saya setiap kali menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan tetapi turut digunakan oleh ahli keluarga untuk urusan harian,” jelasnya yang menyifatkan kereta tersebut ibarat ‘Mustang’ buat dirinya.

Kereta tersebut dilaporkan hilang selepas pemain itu meletakkannya tidak jauh dari Batu Caves ketika menghadiri sambutan Thaipusam, kelmarin.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, dilaporkan meletakkan kereta berkenaan pada 3 pagi dan disedari hilang sebaik selesai menghadiri upacara keagamaan itu.

Susulan itu, dia memaklumkan kejadian berkenaan menerusi Facebook serta Instagram peribadinya, yang mendorong orang ramai menyebarkan maklumat itu. - UTUSAN ONLINE