Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berhubung denda berjumlah RM87,500 yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Rozi menegaskan, beliau akan membawa perkara itu dalam me­syuarat Exco Kerajaan negeri Terengganu bagi menentukan apakah tindakan yan g harus diambil.

Menurutnya, beliau sangat tegas dalam hal berkenaan dan meminta PBSNT supaya mengambil tindakan segera dengan mengkaji balik denda yang dikenakan oleh FAM terhadap Terengganu.

“Denda yang dikenakan FAM terhadap PBSNT sangat melampau dan membebankan persa­tuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meraikan 200 veteran UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sempena Majlis Ukhuwah Kasih dan Ihsan Rakyat di sini semalam.

Selain denda RM87,500, Rozi juga kecewa dengan hukuman lain terhadap persatuan berkenaan iaitu bermain satu perlawanan tanpa penyokong selain pemain import yang digantung selama enam bulan.

“Kita faham dengan tindakan yang dikenakan tetapi mereka (FAM) kena tahu perkara yang berlaku ini bukannya semasa perlawanan, sebaliknya ia sudah di luar perlawanan.

“Apa masalahnya sampai kenakan denda hingga berpuluh ribu, pemain digantung enam bulan, dengan penonton tak boleh tengok perlawanan. Ini bukannya nak jadikan pengajaran, pengajaran apa macam ni.

“Ini maruah pasukan Terengganu dan orang Terengganu pun ada maruah, kalau kena dengan sesetengah pasukan, taklah berlaku macam ni.

“FAM jangan buat 'double standard' kalau pasukan Terengganu, teruklah kita kena,” kata­nya lagi.

Terengganu dikenakan hukuman berat kerana tindakan penyokongnya membakar suar dan membuat kecoh dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ketika menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei lalu.

Skuad Penyu turut kehilangan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel yang digantung enam perlawanan gara-gara menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil.